LONDON: Jurgen Klopp menggesa Liverpool memberi ‘kesakitan’ kepada pasukan kelompok empat terbaik Liga Perdana selepas Reds menewaskan Aston Villa 3-1 sebaik sahaja saingan bersambung semalam.
Liverpool merapatkan jurang mata di belakang pasukan tangga keempat, Tottenham kepada lima dengan memenangi perlawanan menghiburkan di Villa Park hasil jaringan Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Stefan Bajcetic.
Walaupun Klopp mengakui jurang 15 mata yang memisahkan Liverpool dengan pendahulu, Arsenal mungkin sukar diatasi, namun fokus utama mereka adalah memberi tekanan kepada empat teratas liga.
“Lihat, kami perlu memberi ‘kesakitan’ kepada semua orang. Sudah tentu, kami perlu mengejar.
“Kami tidak berada di kedudukan terbaik, ada perbezaan antara kami dengan pasukan lain, kita semua tahu itu.
STEFAN Bajcetic (kanan) mengawal bola sebelum meledak gol ketiga Liverpool ketika menumpaskan Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris. – AFP
“Dua (atau) tiga pasukan teratas mungkin terlalu jauh. Jika mereka memenangi semua perlawanan, maka kami tidak mempunyai peluang.
“Kami perlu memainkan bahagian kami, dan itu bermakna memenangi lebih banhyak perlawanan dan lihat sejauh mana kami boleh mencapainya,” kata Klopp.
Liverpool tidak pernah gagal untuk menamatkan saingan di empat teratas sepanjang enam musim penuh dibimbing oleh Klopp.
Kata Klopp, sasaran mereka adalah layak ke Liga Juara-Juara, dan Reds kembali ke landasan yang betul selepas mengharungi awal musim dengan prestasi buruk.
Liverpool kini akan berdepan Leicester City di Anfield, Sabtu ini, diikuti bertandang ke Brentford pada Selasa depan. – AGENSI
The post Liverpool boleh beri ‘kesakitan’ kepada empat pasukan teratas appeared first on Utusan Malaysia.