LONDON: Pep Guardiola menegaskan Liverpool masih pencabar terkuat mereka untuk mempertahankan kejua­raan Liga Perdana Inggeris, dan mahu Manchester City tampil lebih gagah apabila berdepan Reds di Anfield hari ini.

City boleh melebarkan jurang kepada 16 mata mengatasi Liverpool jika menang di tempat lawan, namun kekalahan dalam dua aksi terakhir menentang skuad bim­bingan Jurgen Klopp membuatkan Guardiola lebih berhati-hati.

Reds menewaskan mereka pada separuh akhir Piala FA, April lalu sebelum menjulang Perisai Komuniti pada Ogos.

LIVERPOOL muncul juara Perisai Komuniti 2022 selepas mengalahkan Manchester City.

“Dalam dua pertemuan ter­akhir kami agak lembut.

“Anda perlu memenangi persaingan fizikal. Apabila lawan menolak, anda perlu menolak mereka balik.

“Pendapat saya tentang ­Li­verpool..Tiada yang berubah dengan pasukan yang ber­saing merebut empat kejuaraan musim lalu.

“Mereka bergelut di awal musim kerana beberapa perkara kecil tapi secara keseluruhan, Liverpool memiliki kualiti sama.

“Kalau liga berbaki 10 perlawanan, saya boleh kata, ya…Mereka sudah tidak boleh mengejar tetapi liga masih panjang, mereka ada banyak kualiti untuk bangkit,” kata Guardiola.

CARI JALAN IKAT HAALAND

Sementara itu, pengendali Liverpool, Klopp berkata, Erling Haa­land amat ‘sempurna’ buat City mereka perlu mencari jalan untuk mengurangkan ancaman penyerang Norway tersebut.

Haaland membuat penampilan sensasi di Etihad, meledak 20 gol dalam 13 perlawanan (semua pertandingan) sejak tiba dari Borussia Dortmund.

“Apabila anda bermain menentang seseorang yang ketika ini penyerang terbaik di dunia, anda perlu memastikan dia tidak mendapat banyak bola.

“Itulah yang kami akan cuba lakukan tetapi menentang City masalahnya adalah jika anda menutup Haaland dengan terlalu ramai pemain, anda membuka ruang kepada semua pemain bertaraf dunia yang lain,” kata Klopp.

LIVERPOOL perlu berada pada tahap terbaik untuk mengikat Haaland dan Manchester City di Anfield hari ini. 

Begitupun Klopp percaya, Reds sendiri memiliki kualti d­engan Darwin Nunez makin menemui ­keserasian dan Mohamed Salah mendapat sentuhan dengan meledak hatrik ketika mereka membelasah Rangers 7-1 pada aksi Liga Juara-Juara, Khamis lalu.

Pertembungan Haaland-Nu­nez, dua pemain muda yang masing-masing berusia 22 serta 23 tahun pasti menjadi tum­puan utama di Anfield.

Liverpool dijangka memilih formasi 4-2-3-1 dengan Salah, Roberto Firmino dan Diogo Jota berada di belakang Nunez.

City pula mempertaruhkan taktikal 4-3-3. Haaland bergandingan bersama Phil Foden dan Jack Grealish mengetuai jentera serangan. – AGENSI

The post Liverpool, City saling memuji appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *