LIVERPOOL: Mengakui kecewa dengan aksi Liverpool ketika dimalukan 2-5 oleh Real Madrid di Anfield semalam, Jurgen Klopp bagaimanapun menegaskan, kempen pasukannya dalam Liga Juara-Juara belum berkubur.
Reds bermula baik apabila mendahului 2-0 dalam tempoh 15 pertama menerusi Darwin Nunez dan Mohamed Salah, namun dua jaringan Vinicius Jr. membolehkan Real menyamakan kedudukan 2-2 ketika tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Liverpool bertambah parah apabila tandukan Eder Militao serta dua gol Karim Benzema memastikan Real membawa pulang bekalan selesa apabila berentap pada aksi kedua di Santiago Bernabeu, 16 Mac ini.
Kekalahan juga memadam impian besar Klopp untuk membalas kekalahan kepada gergasi Sepanyol itu dalam final, sembilan bulan lalu.
“Saya rasa Carlo (Ancelotti, pengurus Real) pasti menganggap perlawanan sudah berakhir, begitu juga dengan saya.
“Tetapi dalam masa tiga minggu, semakin anda hampiri hari perlawanan makin besar peluang, dan makin kurang terasa ia sudah berakhir.
“Malam ini, anda dapat lihat Real handal dalam serangan balas, kami perlu jaringkan tiga gol di sana dan mengambil risiko, ia mungkin agak sukar tetapi belum berakhir,” kata Klopp.
Sementara itu, kapten Liverpool, Jordan Henderson mengakui, mereka harus menyalahkan diri sendiri kerana melakukan kesilapan pertahanan yang membuka peluang kepada jaringan Real.
“Sejujurnya kami gagal! Mereka mempamer kualiti permainan dan kami sedar perkara itu.
“Apabila anda tidak 100 peratus bertahan dengan baik, lawan akan menghukum anda,” katanya.
Liga Juara-Juara satu-satunya kejuaraan yang masih boleh diburu oleh Reds selepas tersingkir dari Piala FA dan Piala Liga. – AGENSI
The post Liverpool teruk tapi belum ‘mati’ appeared first on Utusan Malaysia.