PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dijangka dapat beroperasi tidak lama lagi.

Menurutnya, ketika ini, sistem isyarat dan komunikasi LRT itu dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menjalani pengujian.

“Pagi ini saya diberi taklimat tentang pengujian sistem kawalan tren automatik (ATC) oleh Rapid Rail yang bermula pada pukul 11 malam hingga pukul 5 pagi tadi, sambil dipantau oleh Bahagian Perancangan dan Penguatkuasaan Rel APAD.

“Matlamat utama pengujian ini adalah memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum meneruskan pengoperasian penuh,”  katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, pasukan pengujian itu menggerakkan 24 set tren di sepanjang laluan Putra Heights ke Gombak, seterusnya 38 set tren di sepanjang laluan dengan jarak lima minit antara setiap set tren.

“Saya akan terus memantau perkembangan ini termasuklah ketika saya berada di Ayer Hitam. Mudah-mudahan saya dapat membawa berita baik esok,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 November hingga 15 November ini.  – UTUSAN

The post LRT Kelana Jaya beroperasi tidak lama lagi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *