GEORGE TOWN: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, dekat sini dilanda banjir kilat sebanyak tiga kali sejak 2017 iaitu pada 28 Oktober 2018; 3 September 2019 dan 24 September lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, tiada penerbangan yang terjejas akibat banjir kilat itu kerana kejadian tersebut hanya melibatkan sebahagian kawasan terminal.

“LTAPP juga tidak ditutup akibat kejadian banjir ini dan operasi penerbangan keluar masuk LTAPP berjalan seperti biasa,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Zairil (DAP-Tanjong Bunga) menjawab soalan Mohd. Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) mengenai kejadian banjir kilat di LTAPP dan usaha yang diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.

Menurut Zairil, ekoran keadian banjir itu, cadangan pembesaran LTAPP kelak akan turut melibatkan kajian sistem saliran dan perparitan bagi mengelakkan LTAPP terus dilanda bencana tersebut.

Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) sedang bekerjasama dengan semua agensi-agensi kerajaan dan pemegang taruh bagi membolehkan satu reka bentuk mapan yang dapat mengelakkan kejadian banjir berterusan dibangunkan.

Mengulas lanjut Zairil berkata, untuk pelan jangka panjang, MAHB kini sedang dalam proses merangka reka bentuk sistem tangki ‘on-site detention’ yang lebih besar untuk menampung curahan air hujan yang berintensiti tinggi.

“Pelan ini akan dimasukkan ke dalam perancangan National Airport Master Plan (NAMP) bagi LTAPP yang disediakan oleh MAHB.

“Penyelesaian jangka panjang yang diambil oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang pula adalah pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Tiram di Kampung Naran, Bayan Lepas,” katanya. – UTUSAN

The post LTAPP dilanda banjir kilat tiga kali sejak 2017 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *