KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO perlu melupakan hasrat menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana ia adalah satu-satunya pilihan terbaik yang ada ketika ini.

Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, BN jelas telah ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu dan realiti itu perlu diterima oleh semua barisan kepimpinan parti.

Menurutnya, dengan hanya 30 orang wakil BN dalam Dewan Rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang, adalah memalukan jika BN masih lagi berlagak hebat untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Kenapa kita masih beria-ia untuk menafikan hasrat rakyat. Kenapa kita masih berkeras menolak realiti. Rakyat masih sayangkan BN namun mereka mahu BN belajar daripada kesilapan.

“Mereka telah ajar kita lima tahun lepas dalam PRU14. Harapan mereka ialah kita berubah. Harapan tiga juta ahli UMNO ialah kita perbaiki kelemahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Iskandar yang juga bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, ketika ini sedang banyak berlaku rundingan di antara pimpinan parti politik untuk membentuk kerajaan.

“Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN disebut-sebut antara yang paling stabil untuk membentuk kerajaan, namun ada harga mahal yang perlu dibayar UMNO.

“Prinsip ‘No Anwar dan No DAP‘ adalah keputusan majoriti akar umbi yang tidak boleh dijual beli. Prinsip ini bukan saja melibatkan perbezaan dasar, malah maruah dan harga diri setiap tiga juta ahli UMNO,” jelasnya.

Justeru, beliau menegaskan pilihan terbaik UMNO dan BN untuk kekal relevan ialah dengan tidak menyertai mana-mana kerajaan.

“Belajar menjadi pembangkang yang baik. Teruskan berkhidmat kepada rakyat dengan menjadi mata dan telinga mereka menegur salah laku kerajaan. Bekerja secara profesional untuk menambat hati rakyat dalam tempoh lima tahun lagi,” tambahnya. – UTUSAN

The post Lupakan hasrat jadi sebahagian daripada kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *