DOHA: Penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou sudah tidak sabar untuk berentap dengan barisan terbaik Sepanyol apabila kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan untuk merebut tiket ke suku akhir Piala Dunia 2022 hari ini.

Pasukan yang terkenal dengan julukan ‘Singa Atlas’ itu mara ke pusingan 16 terbaik apabila mencatatkan rekod cemerlang tanpa kalah dalam Kumpulan F apabila seri dengan finalis Piala Dunia 2018, Croatia dan membenam pasukan ranking No. 2 Dunia, Belgium dan Kanada.

Keyakinan Maghribi semakin menebal untuk menentang skuad La Roja apabila juara dunia 2010 itu tewas mengejut dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan kepada Jepun, dan hampir lagi tersingkir daripada saingan Piala Dunia kali ini.

“Kita sudah melakar sejara mara ke pusingan 16 terbaik, tetapi kami mahu menyingkirkan Sepanyol, itu akan mencatatkan satu lagi sejarah, bukan sahaja dalam Piala Dunia tetapi dalam sejarah bola sepak Maghribi.

“Kami mahu membuat rakyat negara kami gembira, kami sudah sedia sepenuhnya. Kami semakin kuat dan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan, dan saya pasti kami akan turun dalam keadaan yang terbaik,” jelas Bounou.

Bounou juga sedar pasukannya kini tidak lagi boleh dipandang rendah oleh semua pihak kerana mempunyai kebolehan untuk melakukan kejutan biarpun lawan memiliki reputasi besar di pentas Piala Dunia.

Maghribi merupakan pasukan yang pertama berjaya menjadi juara kumpulan di Piala Dunia dalam tempoh 24 tahun selepas Nigeria berjaya melakukannya pada 1998 di Perancis. – Agensi/UTUSAN

The post Maghribi mahu cipta lagi sejarah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *