MELAKA: Mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negeri ini dan pulang melaksanakan tanggungjawab mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), lebih menaruh harapan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menguruskan pentadbiran negara.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, mereka menyifatkan pemerintahan BN selama 62 tahun tidak pernah mengabaikan soal pendidikan dan kebajikan pelajar, malah kerajaan ketika itu mengambil berat setiap keluh-kesah kumpulan berkenaan.

Seorang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Universiti Malaya (UM), Muhammad Aiman Abdul Latif, 21, berkata, beliau lebih mempercayai BN berbanding parti lain kerana gabungan itu terbukti mampu mewujudkan kemakmuran sekian lama.

MUHAMMAD AIMAN ABDUL LATIF

“BN telah buktikan mereka mampu membangunkan negara dan khusus bagi kami sebagai pelajar, banyak bantuan-bantuan kerajaan yang diterima khususnya keluarga B40.

“Ini kali pertama saya mengundi dan sangat teruja serta tidak sabar menunggu hari Sabtu ini untuk keluar mengundi,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Alami, Ayer Keroh di sini.

Dalam pada itu, Filzah Rizal, 19, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau melihat BN sebagai parti yang sudah membuktikan keupayaan dengan tidak mengabaikan soal kebajikan, bantuan dan sebagainya terhadap golongan pelajar.

FILZAH RIZAL

“Saya tak nafikan BN berjaya mewujudkan kestabilan politik sejak selepas kemerdekaan, apabila mereka tewas pada PRU14, keadaan politik negara tidak stabil dan ini memberi kesan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dan Teknologi, Muhaimin Mohd. Nor, 20, berkata, beliau mengakui pada mulanya agak berat hati untuk pulang mengundi.

MUHAIMIN MOHD. NOR

Katanya, setelah berfikir masak-masak, beliau akhirnya mengambil keputusan melaksanakan tanggungjawab mewakili anak muda yang mahukan kerajaan stabil dapat dibentuk.

“Saya akan mengundi di Parlimen Hang Tuah Jaya dan tentu saya akan pilih calon BN walaupun calon Pakatan Harapan (PH), Adam Adli Abd. Halim adalah bekas pelajar UPSI,” katanya. – UTUSAN

The post Mahasiswa Melaka mahu pilih kerajaan stabil appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *