PETALING JAYA: Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan mempertahan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti pada bulan depan.
Menurut bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, beliau memutuskan demikian kerana mahu memperkukuh UMNO yang kini berada dalam situasi yang mencabar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya menawarkan diri untuk bersama-sama saf kepimpinan bagi membantu Presiden dan Timbalan Presiden berbekalkan pengalaman saya selama ini di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Di atas faktor itu, bagi menggembleng semangat perjuangan UMNO saya membawa gagasan kebersamaan perjuangan dalam pemilihan kali ini demi perjuangan UMNO,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berharap dapat memperoleh kepercayaan ahli-ahli UMNO agar terus diberikan khidmat sebagai Naib Presiden UMNO untuk kali kedua.
Selain Mahdzir, seorang lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengesahkan mempertahan jawatan.
Seorang lagi penyandang iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga kini masih belum menyatakan pendirian sehingga kini. – UTUSAN
The post Mahdzir Khalid pertahan Naib Presiden UMNO appeared first on Utusan Malaysia.