ISLAMABAD: Mahkamah Pakistan membebaskan seorang perogol selepas dia mengahwini mangsanya dalam penyelesaian luar mahkamah yang diurus oleh majlis pemimpin masyarakat di barat laut negara ini, lapor peguam.

Keputusan itu menimbulkan kemarahan aktivis hak asasi manusia yang menyifatkan tindakan itu menghalalkan keganasan seksual terhadap wanita di negara di mana majoriti kes rogol tidak dilaporkan.

Dawlat Khan, 25, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Mei lalu oleh Mahkamah Rendah di daerah Buner di wilayah Khyber Pakhtunkhwa kerana merogol seorang wanita pekak.

Bagaimanapun suspek dibebaskan dari penjara Isnin lalu selepas Mahkamah Tinggi Peshawar menerima penyelesaian di luar mahkamah yang dipersetujui oleh keluarga mangsa rogol itu.

Bercakap selepas anak guamnya dibebaskan, peguam, Amjad Ali berkata, latar belakang perjanjian itu diterima kerana perogol dan mangsa adalah daripada keluarga besar yang sama.

“Kedua-dua keluarga kembali berbaik selepas persetujuan dicapai dengan bantuan jirga tempatan atau majlis tradisional,” tambahnya.

Dawlat ditahan selepas mangsa yang belum berkahwin melahirkan bayi awal tahun ini dan ujian paterniti membuktikan dia adalah bapa kandung kanak-kanak itu.

Menurut Kumpulan Bantuan Guaman Asma Jahangir yang menyediakan bantuan guaman kepada wanita yang terdedah kepada kes rogol di negara ini, kadar sabitan adalah lebih rendah berbanding tiga peratus kes yang dibicarakan.-AGENSI

The post Mahkamah bebaskan perogol selepas berkahwin dengan mangsa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *