JEDDAH: Pendakwa raya Iran membicarakan lebih 1,000 orang minggu ini kerana mengambil bahagian dalam protes jalanan besar-besaran yang menggegarkan rejim Teheran sejak dua bulan lalu.

Jurucakap ketua hakim negara berkata, perbicaraan berlangsung secara terbuka di Mahkamah Revolusi dan penunjuk perasaan didakwa atas pertuduhan melakukan tindakan sabotaj, termasuk menyerang atau membunuh pengawal keselamatan, membakar harta awam dan ada juga yang berdepan hukuman mati.

Lapor Arab News, protes itu adalah antara cabaran terbesar Iran sejak revolusi pada 1979 apabila penunjuk perasaan membuat demonstrasi di seluruh negara ekoran kematian seorang tahanan wanita, Mahsa Amini, 22, akibat kesalahan pemakaian hijab 16 September lalu.

Pasukan keselamatan melancarkan tindakan keras ke atas penunjuk perasaan, dan kumpulan penentang politik Iran Mujahedin-e-Khalq (MEK) menganggarkan lebih 450 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 25,000 ditahan.

Dalam video yang disiarkan di media sosial, ibu kepada seorang penunjuk perasaan, Mohammad Ghobadlou, 22, berkata anaknya dikenakan hukuman mati dalam perbicaraan dua hari lalu.

“Anak saya sakit, mahkamah tidak membenarkan peguamnya masuk ke bilik mahkamah. Mereka menyoal siasatnya tanpa kehadiran peguam dan pada sesi pertama menjatuhkan hukuman mati, dan mahu melaksanakannya secepat mungkin,” katanya.

Penganalisis Politik Universiti Tennessee, Saeid Golkar berkata, Iran melihat protes itu sebagai ancaman serius.

“Rakyat dilihat lebih berazam untuk mencabar rejim berbanding masa lalu. Malangnya, sejarah menunjukkan kepada kita bahawa mereka sanggup menggunakan mana-mana tahap keganasan untuk kekal berkuasa,” katanya.

Penindasan itu menerima kecaman global dan Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata, Kesatuan Eropah (EU) sedang mempertimbangkan sekatan selanjutnya terhadap Iran.

The post Mahkamah Iran dakwa 1,000 penunjuk perasaan Mahsa Amini appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *