PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais adalah sejajar dengan peruntukan undang-undang iaitu Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengetuai panel lima hakim ketika membacakan keputusan sebulat suara itu menyatakan, panel tersebut tidak terdorong untuk memutuskan agar Hakim Abu Bakar menarik diri daripada mendengar semakan itu.
“Pada pandangan kami, undang-undang sedia ada adalah jelas menunjukkan bahawa Ketua Hakim Negara mempunyai budi bicara untuk melantik mana-mana hakim untuk menyertai panel (untuk mendengar kes). Oleh itu kami menolak hujah (pembelaan) bahawa Hakim Abu Bakar tidak patut untuk mendengar semakan ini.
“Oleh itu kami menolak bantahan awal tersebut,” kata hakim itu.
Selain Hakim Abdul Rahman dan Hakim Abu Bakar, turut berada dalam komposisi panel hakim hari ini ialah Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.
Panel terbabit memutuskan demikian selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan bantahan terhadap komposisi panel hakim yang mendengar semakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Najib membantah komposisi panel ketika di awal prosiding pagi ini dengan alasan mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar dan memutuskan sesuatu kes mesti terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V. Sithambaram berhujah bahawa berdasarkan Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan pelantikan Hakim Abu Bakar dalam panel semakan itu adalah betul.
Beliau berkata, tidak ada sebarang unsur niat jahat dalam penyenaraian hakim itu untuk mendengar kes berkenaaan.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, terdapat tujuh lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang berkelayakan untuk mendengar permohonan semakan itu. – UTUSAN
The post Mahkamah tolak bantahan peguam Najib appeared first on Utusan Malaysia.