IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tuduhan beliau akan membawa budaya songsang dan menjadi boneka DAP  jika menjadi Perdana Menteri sebagai sesuatu yang gila.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, apa yang dikesalkan fitnah oleh seorang pemimpin Pas Perak itu tidak ditegur oleh lain-lain pemimpin parti tersebut.

Katanya, beliau sudah menghantar surat saman terhadap pemimpin Pas itu atas tuduhan fitnah dalam satu rakaman video semasa ceramah baru-baru ini.

“Saya dah hantar surat lawyer. Apa dia kata, jika Anwar Perdana Menteri, dia akan dikawal oleh DAP Komunis, Anwar akan bawa agenda LGBT, apa jenis ustaz begini? 

“Ada orang dari kepimpinan Pas tegur? Apakah Islam mengizinkan fitnah? Saudara boleh baca dan Google apa ulama-ulama besar dunia anggap saya.  Bukan saya nak takbur, saya nak bezakan ustaz-ustaz tepi jalan dengan ulama-ulama besar dunia yang mengiktiraf usaha dan sumbangan kita,” katanya pada program santai bersama penduduk di sini semalam.

Menurutnya, fitnah sedemikian memburukkan imej Islam. 

“Saya minta maaf kerana terpaksa mempertahan diri dan menjelaskan. Memang gila, bila kita tanya, ini antara Islam dan bukan Islam. Islam macam mana yang dimaksudkan? Dalam Islam itu boleh berbahas tetapi gunalah istilah yang baik,” katanya. 

Sementara itu, program ceramah dimeriahkan lagi dengan persembahan artis terkenal iaitu Ali XPDC, Amir Ukays, Datuk Afdlin Shauki, Nizam Laksamana, Edi Kobra dan Afee U-Topia. 

Semalam, Anwar menuntut saman ganti rugi RM5 juta dan permohonan maaf secara terbuka daripada Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria susulan tuduhan yang beliau mempunyai agenda LGBT dan menjadi boneka DAP jika menjadi perdana menteri.

Dalam surat tuntutan itu, Anwar yang juga calon Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), menyatakan Razman membuat ucapan berbaur fitnah. – UTUSAN

The post Mahu bawa budaya songsang, boneka DAP tuduhan gila – Anwar  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *