WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengulangi pendirian untuk menentang sekeras-kerasnya penempatan dan penindasan haram Yahudi di wilayah Palestin, terutamanya di Tebing Barat.

Penegasan itu dinyatakan oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ketika menyampaikan ucapan tahniah kepada bakal perdana menteri baharu Israel, Benjamin Netanyahu yang membuat ‘penampilan semula’ selepas memenangi pilihan raya umum Israel, baru-baru ini.

Netanyahu dijangka mengambil alih semula tampuk pentadbiran Israel dalam beberapa hari akan datang selepas menjalin pakatan dengan pergerakan kanan ekstrem, Religious Zionism yang diberi tugas untuk meneruskan pendudukan haram di Tebing Barat.

Blinken menerusi wawancara bersama J Street berkata, AS tidak akan menilai Netanyahu berdasarkan personaliti, tetapi lebih kepada polisi yang dilaksanakannya.

“AS akan terus menentang sebarang tindakan yang boleh menjejaskan penyelesaian dua negara, termasuk isu penempatan dan penindasan haram di Tebing Barat, merobohkan rumah penduduk Palestin, mengusir keluarga Palestin dan mencetuskan provokasi sehingga berlakunya rusuhan ganas,” katanya.

Dalam pada itu, Blinken menolak langkah normalisasi antara beberapa negara Arab dengan Israel sebagai ‘usaha perdamaian’ melibatkan Israel dengan Palestin.

“Hubungan normalisasi itu bukan pengganti kepada usaha damai antara Israel dan Palestin kerana isu kedua-dua negara itu lebih besar dan kompleks.

“Sehubungan itu, AS sentiasa komited untuk memastikan penyelesaian dua negara dapat dicapai segera,” ujarnya. – AFP

The post Mahu penyelesaian dua negara berhasil, AS tolak penempatan haram di Tebing Barat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *