SERING bergerak aktif terutama dalam ruang legar seni dan budaya, penyanyi, Noraniza Idris meluahkan hasrat untuk melihat transformasi lebih drastik berlaku terhadap sektor ini.

Menurut Noraniza, dia sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap sektor seni yang diyakini mempunyai masa depan yang cukup cerah andai ditadbir urus dengan baik.

“Saya melihat, 2023 sebagai tahun transformasi yang bakal mengubah haluan kehidupan saya secara peribadi, termasuk kerjaya. Saya percaya, penglibatan dalam bidang kesenian dan kebudayaan juga mempunyai banyak kelebihan.

“Bidang ini mempunyai masa depan yang sangat luas untuk diterokai sebagai produk pelancongan yang berdaya saing.

“Sebagai penggiat yang aktif menganjurkan program membangunkan seni dalam masyarakat, saya yakin apabila melihat aktiviti seni dan budaya begitu aktif dianjurkan pelbagai pihak semenjak negara memasuki fasa peralihan ke endemik,” katanya.

Noraniza turut berharap, kedatangan tahun baharu menjadikan dirinya lebih produktif dan terus positif untuk fokus kepada pembangunan kerjaya nyanyian.

“Tahun baharu ini, saya akan mulakan dengan penerbitan single irama Malaysia bersama keluarga Luncai Emas dan menyerahkan sepenuhnya tanggung jawab pengurusan kerjaya supaya lebih teratur di bawah Mind Order,” katanya.

The post Mahu seni budaya lebih berdaya maju – Noraniza Idris appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *