PUCHONG: Calon Bebas Parlimen Puchong, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang berhasrat untuk memperlahankan penglibatannya dalam aktiviti amal selepas ini kerana mahu menumpukan lebih masa untuk keluarga serta anak-anaknya. 

Chee Heng berkata, ini kerana dirinya sudah menghampiri usia persaraan dan ingin lebih fokus untuk menjaga kesihatan. 

“Saya dah nak masuk usia 60 tahun jadi saya dalam persediaan untuk bersara dalam dunia sukarelawan ini tapi servis ambulans percuma masih ada, cuma saya mahu tumpu lebih perhatian kepada anak-anak dan kesihatan. 

“Saya dah aktif jalankan kerja-kerja kebajikan ini sejak 20 tahun lalu dan sudah tiba masa untuk ‘slow down’,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 2 di sini hari ini. 

Selain Chee Heng, calon Perikatan Nasional, Chew Jyh Gang turut mengundi bagi Parlimen Puchong di Sekolah Kebangsaan Serdang, manakala calon Barisan Nasional, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader di Parlimen Seremban dan calon Pakatan Harapan, Yeo Bee Yin di Parlimen Kota Raja. 

Ditanya sama ada beliau kecewa sekiranya kemenangan tidak berpihak kepadanya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Chee Heng berkata, dia tidak pernah ambil kisah mengenai kalah atau menang setiap kali menyertai pilihan raya. 

Menurutnya, apa yang perlu diutamakan adalah keperluan asas dan bantuan untuk rakyat pada ketika ini. 

“Tak kisah lah menang atau kalah yang penting kita dahulukan rakyat. Saya juga telah buka ruang untuk calon bebas masuk dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang. 

“Kita mahu lebih ramai ahli profesional bertanding dan bukannya ahli politik yang semata-mata mewakili parti dan bukannya rakyat,” ujarnya.- UTUSAN

The post Mahu ‘slow down’ lepas PRU15 – Uncle Kentang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *