KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sedang memperkasa kempen kesedaran berwakaf dalam kalangan rakyat di negeri ini bagi menggalakkan masyarakat menunaikan tanggungjawab mereka.

Kempen dilaksanakan itu meliputi inisiatif seperti Wakaf Tunai Manfaat Am, Wakaf Al-Quran dan Kitab, Wakaf Pusat Komuniti dan Wakaf Ma’ As-Sabil (Air).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain Wakaf Tunai Am, MAIPs turut juga menawarkan pelbagai inisiatif Wakaf Tunai Khas membabitkan projek seperti Wakaf Khas Pusat Autisme Negeri Perlis (A-Heart), Wakaf Khas Pusat Rawatan Katarak MAIPs dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Wakaf Khas Penyelenggaraan dan Pembinaan Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam.

“Selain itu, inisiatif ini juga meliputi projek seperti Wakaf Siyanah (Penyelenggaraan Harta Wakaf), Wakaf Khadamad (Perkhidmatan, Kepakaran) dan Wakaf Pendidikan Tinggi,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs secara tunai bernilai RM700 setiap seorang, beras dan bekalan makanan mentah kepada asnaf warga emas yang menghidap masalah kesihatan.

Penyampaian sumbangan itu diberikan kepada Zaharah Ismail, 85, Salehudin Mohamad, 63, dan Meriam Nopiah, 80.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor turut berkenan bagi mengikuti Program Berbasikal Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf sekitar Kampung Santan dan Kg Alor Sena. –UTUSAN

The post MAIPs perkasa kempen kesedaran berwakaf appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *