PETALING JAYA: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan RM25,000 untuk perpustakaan mainan di Pusat Genius Kurnia di Kuala Lumpur, semalam.

Sumbangan berkenaan diumumkan ketika lawatan kerja Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke pusat pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas itu.

Yang berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof dan Pengarah Pusat Genius Kurnia, Dr. Nil Farakh Sulaiman. 

Baginda berdua turut melawat kelas tamborin (intervensi awal), harmonika, tupai, nanas dan pisang (prasekolah), basikal (palsi serebrum) dan bilik Take Home Project.

Lawatan baginda bertujuan meninjau segala fasiliti dan kemudahan di Pusat Genius Kurnia bagi meneroka kerjasama untuk mewujudkan pusat seumpamanya di Perlis di bawah kendalian Pusat Pendidikan dan Latihan Autism (A-Heart) Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, MAIPs dan juga Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang melalui MAIPs menerusi pemberian zakat, wakaf dan sedekah mereka selama ini.

Baginda menggalakkan umat Islam agar menggunakan kesempatan akhir tahun untuk menunaikan zakat bagi 2022 ini. – UTUSAN

The post MAIPs sumbang RM25,000 kepada Genius Kurnia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *