PUTRAJAYA: Para majikan sektor swasta digesa mempertimbangkan pelepasan cuti am pada Jumaat dan Sabtu iaitu 18 dan 19 November ini selaras pengisytiharan cuti umum Kerajaan Persekutuan bagi seluruh negara demi memberi peluang kepada golongan pekerja menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, cuti umum itu diisytiharkan di bawah seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang merupakan cuti am diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955. 

Menurut peruntukan ini, kata beliau, majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja.

“Majikan dikehendaki memaklumkan kepada pekerja mereka sama ada memilih tarikh pada 18 dan 19 November sebagai hari cuti am atau menggantikannya dengan tarikh-tarikh lain. 

“Sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh-tarikh tersebut layak menerima kadar gaji bagi cuti am,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, bagi negeri-negeri yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan, maka hari Ahad, 20 November ini ditetapkan sebagai hari kelepasan tambahan. – UTUSAN

The post Majikan sektor swasta digesa beri cuti am 18, 19 Nov appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *