PETALING JAYA: Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) mengecam tindakan membakar kitab suci umat Islam, al-Quran yang berlaku di Sweden baru-baru ini.

Pendirian itu disampaikan oleh satu kenyataan CCM yang dimuat naik dalam Facebook semalam.

“Kami tegas mengecam tindakan membakar al-Quran dalam demonstrasi yang diketuai ahli politik berhaluan kanan Sweden di Stockholm,” katanya.

Tindakan membakar al-Quran yang dilakukan oleh seorang politikus sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm dengan bertindak membakar al-Quran telah mencetuskan kecaman pelbagai pihak.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Semalam, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa satu pasukan bertindak khas diwujudkan segera di peringkat dunia bagi melakar agenda bertindak mengendurkan Islamofobia.

Selain itu, PUM turut mengucapkan syabas di atas ketegasan Malaysia dalam perbuatan berkenaan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Katanya, ia adalah pendirian konsisten pemimpin Malaysia sejak sekian lama yang ditunjukkan pemimpin terdahulu dan dipertegaskan lagi oleh Perdana Menteri ke-10 itu.

“Seluruh rakyat Malaysia perlu bangkit menangani isu Islamofobia dan sebarang kebencian agama yang muncul daripada tindakan ini,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

The post Majlis Gereja-Gereja Malaysia kecam tindakan bakar al-Quran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *