KUALA NERUS: Keceriaan majlis konvokesyen ke-14 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini bertukar pilu apabila nama dua graduan yang telah meninggal dunia disebut untuk menaiki pentas mengambil skrol diploma masing-masing.

Ramai ibu bapa, graduan dan pensyarah UniSZA berlinang air mata mengingati pemergian dua pelajar tersebut iaitu Nur Fadzielah Md Isa, 20, dan Ahmad Danial Aiman Ahmad Zaidi, 20.

Ahmad Danial Aiman merupakan pelajar program Diploma Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 29 September lalu manakala Nur Fadzielah pula pelajar Diploma Sains Kejururawatan yang meninggal dunia pada 19 Jun lalu akibat strok.

Skrol diploma mereka diambil ibu bapa masing-masing dan mendapat penghormatan hadirin yang berdiri seketika.

Bapa Ahmad Danial Aiman, Ahmad Zaidi, 53 berkata, pemergian anak ketiga daripada lima beradik itu amat dirasai kerana kemalangan itu berlaku di depan matanya sendiri.

Ahmad Zaidi yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, anaknya itu membantunya bekerja bagi mengisi masa terluang.

“Ketika kejadian, kami turun sebentar hendak membeli kuih dan enjin lori tidak dimatikan. Secara tiba-tiba lori bergerak dan arwah berlari mahu memberhentikan lori namun tidak sempat kerana dia tersepit di celah tembok yang dilanggar lori itu.

“Dengan bantuan kawan, kami segera ke hospital namun pendarahan terlalu banyak kerana kecederaannya parah, akhirnya dia dijemput Allah pada 12.20 pagi, setelah hampir 12 jam bertarung nyawa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, bapa Nur Fadzielah, Md. Isa Yaakob, 56 pula berkata, arwah terjatuh di bilik air ketika berada di rumah mereka di Baling, Kedah pada musim cuti semester keenam yang lalu.

“Akibat kemalangan tersebut, dia mengalami strok dan memerlukan rawatan fisioterapi yang berpanjangan.

“Semasa penangguhan pengajian di semester terakhir, dia diserang sawan hingga tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Pada 13 Jun, tahap kesihatannya semakin merosot dan menghembuskan nafas terakhir enam hari kemudian,” katanya sebak. – UTUSAN

The post Majlis konvokesyen bertukar pilu nama dua graduan meninggal dunia disebut  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *