MUAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa maklumat berkaitan Senarai Daftar Pemilih sememangnya boleh dibeli oleh sesiapa sahaja melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bagaimanapun, data itu tidak akan memaparkan semua maklumat pengundi terutamanya melibatkan nombor telefon.

“Saya nak maklumkan kertas-kertas nama pengundi ini memang boleh dibeli daripada SPR, nak beli daripada sindiket buat apa? Cuma, jika dibeli melalui pihak berkenaan, memang tiada nombor telefon dipaparkan, itu maklumat sulit. Mungkin pihak ini sengaja meletakkan nombor telefon sesiapa sahaja.

“Namun, kalau dia melakukan kesalahan dengan mencuri maklumat data, ini tak boleh. Ia dah dikira menceroboh maklumat individu. Setakat ini kita semua faham dan tahu dari dahulu lagi siapa pun boleh membeli senarai pengundi-pengundi daripada SPR mengikut kawasan tertentu.

“Tetapi kalau ada orang maklumkan nak jual berserta dengan nombor telefon, lebih baik anda semak dahulu kerana berkemungkinan nombor tak sama dengan identiti pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengurusikan Taklimat Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2022 dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 800,000 data pengguna didakwa diperoleh daripada sistem MySPR dijual pada harga RM9,401 di pangkalan data terkenal.

Berdasarkan laporan dalam laman web lowyat.net, difahamkan terdapat pangkalan data itu memiliki gambar swafoto dan MyKad menggunakan sistem elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC). –UTUSAN

The post Maklumat pengundi SPR boleh dibeli appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *