KUALA LUMPUR: Jaringan besar yang dicari Malaysia dalam aksi kedua Piala AFF berjaya dipenuhi apabila empat gol pada separuh masa kedua membolehkan mereka membelasah Laos 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan 29,961 penonton, skuad kendalian Kim Pang Gon tidak berdepan masalah mengutip tiga mata penuh yang sekali gus meletakkan Malaysia mengungguli Kumpulan B.

Kemenangan itu pastinya menaikkan keyakinan Harimau Malaya sebelum berdepan tugas paling getir, menentang juara dua kali dan pilihan utama, Vietnam di Hanoi, Selasa ini.

Membuat lapan pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding skuad yang mengalahkan Myanmar 1-0 di Yangon, Rabu lalu, Malaysia bagaimanapun memulakan aksi dengan kurang kemas.

Pasukan negara terpaksa menanti sehingga minit ke-29 untuk membuka jaringan menerusi pemain naturalisasi, Sergio Aguero hasil hantaran lintang Nor Hakim Hassan.

Gol tersebut merupakan jaringan sulung pemain naturalisasi kelahiran Argentina itu bersama skuad kebangsaan pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama.

Malaysia yang membawa misi untuk memburu kemenangan besar ke atas Laos, telah mula mengasak sejak awal permainan lagi.

Antara percubaan terbaik Harimau Malaya ialah menerusi pemain sayap, Faisal Halim yang berjaya mengelecek benteng pertahanan Laos, namun, rambatannya melapasi palang gol seawal minit kelima.

Selepas itu, serangan bertali arus yang dilakukan jentera hadapan skuad kebangsaan masih buntu untuk mendapatkan jaringan sehinggalah rembatan kapten, Safawi Rasid dari luar kotak penalti pada minit ke-22 berjaya ditangkap kemas penjaga gol Laos, Leo Oudone Souvannasango.

Satu lagi percubaan pada minit ke-35 oleh Aguero turut gagal menambah jumlah jaringan skuad kebangsaan, apabila percubaannya menolak bola ke gawang lawan tinggi melepasi palang gol Laos.

Beberapa pertukaran yang dilakukan Pan Gon pada separuh masa kedua menyaksikan permainan Harimau Malaya semakin menarik, laju dan kemas.

FAISAL Halim meraikan jaringannya bersama Lee Tuck ketika membantu kemenangan 5-0 Harimau Malaya.

Malaysia tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua apabila Faisal yang bakal beraksi bersama Selangor musim depan menggandakan kedudukan 2-0 buat Malaysia pada minit ke-65 hasil hantaran lintang Safawi.

Tidak terhenti setakat itu, Faisal terus cemerlang apabila sekali lagi merobek gawang Laos selang tiga minit selepas itu untuk melebarkan kedudukan kepada 3-0.

Malaysia terus menambah derita Laos dan kali ini, tiba giliran pemain muda berusia 19 tahun, Muhammad Haqimi Azim Rosli yang mudah menghukum kesilapan pertahanan Laos menerusi rembatan kencangnya ke gawang skuad bimbingan Michael Weiss pada minit ke-77.

Malaysia yang mendahului selesa 4-0, sekali lagi menghukum Laos dan pemain gantian, Stuart Wilkins melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya kepada 5-0 pada minit ke-87.

The post Malaysia berpesta benam Laos 5-0 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *