PETALING JAYA: Penjaring terba­nyak Piala AFF ketika kali terakhir Malaysia bergelar juara pada 2010, Safee Sali percaya, ‘luka’ dikalahkan Vietnam akan sembuh dan Malaysia mampu meloloskan diri ke separuh akhir dengan menewaskan Singapura, Selasa depan.

Singapura dan Vietnam bakal membuat perhitungan hari ini di Stadium Jalan Besar dalam aksi Kumpulan B, di mana keputusan penting untuk menentukan hala tuju pasukan negara.

Kata Safee, skrip kali ini hampir sama dengan pasukannya ketika mencipta kejayaan pada edisi 2010, apabila tewas kepada pasukan pilihan, Indonesia di peringkat kumpulan, namun akhirnya menamatkan kejohanan sebagai juara.

“Saya rasa pemain dah tahu situasi sebenar dan mereka mesti mempunyai semangat berkobar untuk melangkah ke separuh akhir selepas mengalami kekalahan.

“Untuk Azam Azmi (Murad) yang bakal terlepas perlawanan kerana mengutip kad merah, rasanya dia tidak perlu tertekan dengan apa yang terjadi, dia mempunyai kualiti memberangsangkan dan kesungguhan untuk membantu pasukan.

“Kesilapan sudah berlaku tapi dia patut rasa bangga diberi peluang menyarung jersi negara,” kata Safee kepada Utusan Malaysia.

Tambah Safee, kekuatan skuad kali ini bukan sahaja kepada semangat berpasukan, tetapi strategi taktikal berbeza yang dimiliki Kim Pan Gon untuk mengelirukan lawan.

Biarpun atas kertas ranking Malaysia di tangga 145 dunia jauh lebih baik dari Singapura (160), namun ia bukanlah kelebihan selesa, apatah skuad Singa diperkuatkan dengan anak-anak legenda, Fandi Ahmad, iaitu Irfan dan Ilhan Fandi serta Syawal Annuar yang setakat ini sudah pun meledak dua gol.

“Pertemuan dengan Singapura mustahak untuk ke separuh akhir, tetapi bermain di Bukit Jalil akan menjadi kelebihan buat kita untuk menampilkan aksi yang bertenaga,” katanya.

The post Malaysia boleh kalahkan Singapura, mara ke separuh akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *