KUALA LUMPUR: Malaysia akan menggunakan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai saluran untuk menyuarakan bantahan pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) terhadap komoditi kepada Kesatuan Eropah (EU).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, negara ini akan membawa isu tersebut melalui hubungan diplomatik dengan negara-negara pengeluar agrikomoditi serantau, termasuk Indonesia dengan menegaskan pendirian negara untuk bergerak secara blok.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, langkah itu bagi memberi tekanan terhadap pelaksanaan EUDR yang merupakan sekatan perdagangan tidak perlu yang mana ia diwujudkan Kesatuan Eropah untuk menjaga ekonominya.
“Kita (kerajaan) mengadakan mesyuarat dua hala dengan Indonesia pada 9 Februari lalu bagi membincangkan isu pelaksanaan EUDR ini. Kedua-dua negara sudah bersetuju untuk mengadakan misi secara bersama ke Kesatuan Eropah bagi membidas keputusan pelaksanaan EUDR.
“Pandangan dan kekecewaan kedua-dua negara perlu dizahirkan secara bersemuka kepada pihak Kesatuan Eropah yang mana penjelasan perlu disampaikan kepada pihak Kesatuan Eropah akan kesan negatif akibat peraturan itu kepada pekebun kecil,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) meminta kerajaan menjelaskan usaha yang dilaksana Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi menangani isu pengenalan EUDR yang dijangka memberi kesan terhadap komoditi utama negara seperti sawit, kayu dan koko. – UTUSAN
The post Malaysia guna saluran ASEAN bantah EUDR appeared first on Utusan Malaysia.