PETALING JAYA: Malaysia akan menjadi sebuah negara hebat jika Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bergabung di bawah satu gabungan yang turut disertai parti-parti dari Sabah dan Sarawak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Veteran politik DAP, Lim Kit Siang yang mencadangkan idea itu berkata, Malaysia kini berada dalam era baharu politik gabungan ekoran Parlimen tergantung selepas pengundian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.

“Saya cadang supaya sebuah kerajaan gabungan Pakatan Harapan (82 Ahli Parlimen), Perikatan Nasional (73 Ahli Parlimen), dan Blok Borneo (35 Ahli Parlimen) di bawah pimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk membentuk sebuah gabungan bagi memulihkan kemerosotan Malaysia dan menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk melawan rasuah.

“Gabungan untuk menjadikan Malaysia hebat ini akan mempunyai 190 orang Ahli Parlimen, yang melebihi dua-pertiga dari 222 kerusi Parlimen dan boleh meminda Perlembagaan Malaysia untuk mengembalikan hak-hak Sarawak dan Sabah kepada seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Gabungan UMNO-Barisan Nasional telah menyaksikan kekalahan terburuknya dalam sejarah dan Zahid Hamidi patut meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO/BN dan memberi ruang untuk UMNO/BN untuk kembali kepada prinsip asal pembinaan negara yang dipegang oleh empat orang Presiden terawal UMNO dan tokoh-tokoh negara seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, Hussein Onn, Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, Dr Lim Chong Eu, dan V.T. Sambanthan.

“Saya telah menasihatkan Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh untuk memainkan peranan penasihat dan tidak bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Sekiranya mereka dengar nasihat saya, mereka pastinya akan dapat mengelakkan kejadian memalukan semalam.

“Saya telah mulakan perjalanan politik saya 57 tahun yang lepas dalam hari-hari hegemoni UMNO, di mana keretakan kecil sudah menjadi satu krisis nasional,” katanya dalam kenyataan di blognya.

Katanya, PRU15 semalam mungkin kelihatan seperti satu bencana untuk Malaysia, tetapi ia sepatutnya dilihat sebagai pemangkin untuk Malaysia menjadi sebuah negara normal, yang hebat dan bertaraf dunia. –UTUSAN

The post Malaysia hebat jika PH, PN dan parti Sabah, Sarawak bergabung dengan Anwar jadi PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *