PUTRAJAYA: Kerangka dasar baharu ‘Membangun Malaysia Madani’ menggariskan satu pendekatan meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan suntikan nilai kerohanian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat madani atau Malaysia Madani bukan satu idealisme baharu, malah bukan satu tugu baharu untuk meninggalkan dasar-dasar lama.

“Yang lebih penting soal implementasi dari segi idealisme seorang pemimpin. Dalam hal ini Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melontarkan pandangan mengenai masyarakat madani tidak lebih suku abad lalu.

“Apabila ditakdirkan beliau menjadi nakhoda kerajaan yang ada, tentunya kerajaan diketuai beliau dan dokongan pelbagai parti harus memberikan penghayatan  dan membuat susulan kepada pelaksanaan itu. Akhirnya kita lihat ia memberi kesejahteraan kepada  masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Amanat Perdana Menteri Membangun Malaysia Madani di sini hari ini.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Ahmad Zahid berkata, ukuran kesejahteraan diucapkan Perdana Menteri memperlihat bahawa akhirnya keterangkuman daripada pelbagai kumpulan masyarakat, bangsa, agama dan wilayah itu adalah satu pendekatan baharu yang cukup lama ditunggu-tunggu rakyat.

Jelasnya, bantuan daripada kerajaan dalam apa bentuk biarpun diteruskan, namun harus ada nilai kerohanian bagi menjadikan masyarakat dipertingkat taraf hidup dan tidak dipinggirkan.

“Ini adalah sesuatu yang bukan baharu tapi soal pelaksanaannya mesti dilakukan dengan minda madani seperti disebut Perdana Menteri. Ia mesti dirasai oleh rakyat keseluruhannya.

“Semua jabatan dan agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan harus memahaminya dan susulan harus dilakukan dalam menterjemah kos efektif dasar kerajaan,” katanya.

FAHMI FADZIL

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri sudah meletakkan kerangka asas untuk membawa gerak kerja Kerajaan Perpaduan ke hadapan selain satu misi untuk rakyat Malaysia.

Katanya, ia adalah usaha bukan sahaja kalangan jemaah menteri tapi juga rakyat. 

“Niat kita adalah untuk mengangkat martabat negara, menyelesaikan masalah rakyat dan keprihatinan yang diberi Perdana Menteri bukan sahaja kepada angka-angka yang memukau tapi untuk benar-benar menyelesai masalah semua golongan rakyat.

“Kita juga mendengar mesej berkaitan konglomerat dan projek-projek besar serta bagaimana tindakan terhadap apa-apa penyelewengan yang pernah berlaku sebelum ini oleh pihak berkuasa.

“Ini bagi saya memberi satu peluang yang sangat baik untuk satu rekalibrasi supaya pergerakan kita dalam memacu pertumbuhan ekonomi dalam keadaan politik yang stabil dapat dirancakkan selepas ini dan manfaatnya dinikmati rakyat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, semua kementerian, agensi dan badan kerajaan akan mula meneliti dokumen ini dan mengaplikasikan dalam dasar dan pelaksanaan bagi gerak kerja kementerian.

“Kami di Kementerian Komunikasi dan Digital ada pemukiman hari ini dan kita akan ‘bedah’ buku dan meneliti apa yang diumum Perdana Menteri serta gagasan yang dibawa ini,” katanya. – UTUSAN

 

The post Malaysia Madani: Kesejahteraan rakyat disuntik nilai kerohanian appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *