JAKARTA: Malaysia mesti bebas daripada kegelojohan kelompok elit kecil yang menggunakan kuasa untuk kayakan diri sendiri dan ‘puak’ mereka sahaja.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam majlis makan malam bersama diaspora dan pelajar Malaysia di Indonesia di Kedutaan Malaysia di sini malam ini.

Makan malam itu merupakan majlis yang diatur sempena lawatan rasmi beliau ke Indonesia yang dijangka mengadakan pertemuan bersama Presiden Joko Widodo (Jokowi), esok pagi.

Tegas Anwar, pihaknya tidak akan bertolak ansur sama sekali mengenai kegelojohan tersebut walaupun ia akan menggugat kedudukannya selaku Perdana Menteri.

“Kita juga sudah mual dengan orang yang berbicara soal demokrasi atau ketuanan Melayu atau tunggak Islam tetapi mengkhianati amanah dengan guna kuasa untuk merebut harta pusaka yang bukan hak mereka.

“Saya tidak akan membuat penyiasatan atau pendakwaan terpilih tetapi percaya, sebagaimana didukung rakan-rakan saya di jemaah menteri, arahan kita kepada semua penguatkuasaan, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Bank Negara Malaysia dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah untuk menunjukkan kekuatan semangat baharu memastikan dalam tempoh terdekat ini kita hentikan budaya ini,” katanya.

Yang turut hadir isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Perdana Menteri, rakyat sudah menyaksikan perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan keputusan raja-raja Melayu yang telah mengangkat barisan baharu pimpinan negara.

“Bagi saya, perubahan itu mestilah bermakna. Ia tak boleh teruskan kaedah lama melainkan hal-hal yang telah disepakati dan berfaedah. Saya tak tolak semua yang lama kerana ada sumbangan yang baik dan boleh diperbaiki.

“Tapi tentunya negara yang dianggap sedikit dewasa harus membuat penilaian tentang kekuatan dan kelemahan kita. Apa kekuatan kita? Negara aman, keselamatan terjamin, dapat pacu ekonomi yang agak melegakan, terutamanya pada 1970-an, 1980-an dan 1990-an, industri, kepelbagaian kaum, ada Melayu Cina, India, SAbah Sarawak. Bagaimana kita mengangkat negara dengan ekonomi yang kuat dan utuh di ASEAN.

“Itu positif, yang negatifnya (pada hari ini), perkembangan dasawarsa yang tak menentu, kekuatan ekonomi mula rapuh, keyakinan terhadap pelaburan domestik dan asing terjejas. Malaysia dikenali beberapa tahun yang lalu lebih kepada 1MDB daripada semua kekuatan yang lain. Sebagai elemen besar dalam masyarakat, sama ada mahasiswa, penjawat awam, diplomat, ahli perniagaan harus akui kenyataan bahawa landskap atau peta politik harus berubah,” katanya.

Jelasnya, ketegangan sosial kaum dan agama tidak harus diteruskan kerana ia adalah bibit ‘anai-anai yang boleh merosakkan gedung, bahtera negara merdeka ini.

“Tapi ternyata sekarang rapuh. Ia bukan berpunca mahasiswa, peniaga, rakyat tetapi daripada gelagat tokoh-tokoh politik yang terjerat dengan masalah mereka dan mahu lari dengan mengemukakan satu pendirian yang melampau, menggunakan kaum dan agama, cara fanatik dan taksub,” katanya.

Beliau seterusnya mengulangi tekad Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk meyakinkan semua pihak bahawa badan kehakiman perlu bebas daipada pengaruh Eksekutif atau politik.

Tumpuan sekarang jelasnya, adalah pembangunan ekonomi dan bagaimana semua pihak berperanan memacu pembangunan ekonomi yang segar dan meyakinkan. – UTUSAN

The post Malaysia mesti bebas kegelojohan elit guna kuasa kayakan diri sendiri – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *