PETALING JAYA: Malaysia dan Pakistan akan meneroka potensi kerjasama baharu secara dua hala dalam pelbagai bidang. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Shareef berhubung perkara itu. 

“Kami memperbaharui komitmen untuk meneroka potensi kerjasama baharu antara Malaysia dan Pakistan dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan serta hubungan sesama rakyat. 

“Saya turut menzahirkan kesediaan supaya Malaysia meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi dengan Pakistan termasuk menerusi mekanisme Mesyuarat Suruhanjaya Bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini. 

Dalam pada itu, kata Anwar, kedua-dua negara akan terus memperkukuh kerjasama dua hala sejak peningkatan tahap hubungan antara Malaysia dan Pakistan kepada Perkongsian Strategik pada 2019. 

“Pakistan merupakan rakan dagangan penting di Asia Selatan dengan nilai dagangan dua hala mencecah USD1.42 bilion pada tahun 2021,” katanya. – UTUSAN

 

The post Malaysia-Pakistan teroka kerjasama dua hala baharu – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *