PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia bersetuju menerima individu khunsa untuk terlibat dalam setiap aktiviti dikelolakan Persatuan Lingkaran Lautan Hindi (IORA) menjelang 2030 kelak.

Perkara ini antara dipersetujui semua negara organisasi itu menerusi Dhaka Communique pada kemuncak sesi mesyuarat Majlis Menteri IORA Ke-22 di Dhaka, Bangladesh kelmarin.

Malaysia yang ketika itu belum ada lagi menteri bertanggungjawab, diwakili Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala, Kementerian Luar, Datuk Cheong Loon Lai.

IORA diwujudkan pada 1995 lalu sebagai sebuah pertubuhan kerjasama antarabangsa yang melibatkan 23 negara melingkari Lautan Hindi selain ada 10 lagi bertaraf rakan dialog.

Ia memberi fokus kepada isu keselamatan dan kesejahteraan maritim, perdagangan dan fasilitasi pelaburan, pengurusan perikanan dan risiko bencana serta pelancongan dan budaya.

Wisma Putra menerusi kenyataan dalam laman sosial rasminya berkata, Loon Lai menyampaikan kenyataan Malaysia dan menerima pakai draf resolusi Dhaka Communique bertemakan ‘Memanfaatkan Peluang Kelestarian Lautan Hindi Demi Pembangunan Inklusif’ yang turut memperakui Keputusan Hasil Majlis Menteri IORA.

Berdasarkan semakan Utusan Malaysia, deklarasi yang dipersetujui itu sejajar dengan ikrar kesaksamaan gender bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2022 pada 8 Mac lalu.

Dhaka Communique menetapkan menjelang lapan tahun lagi, penyertaan jantina mengikut nisbah 40:40:20 iaitu wanita sama banyak dengan lelaki dan baki separuh lagi adalah khunsa.

Selain itu, deklarasi tersebut memperakui pelbagai mekanisme dirancang bagi penggalakan agenda tindakan perubahan iklim dan pemulihan ekonomi sejagat pasca pandemik Covid-19.

Mereka juga bersetuju menerima syor wakil Perancis dalam pelaksanaan garis panduan pencegahan perikanan haram dan pembekalan rangkaian sumber marin sesama negara anggota.

 Deklarasi berkenaan turut menerima Arab Saudi sebagai rakan dialog terbaharu blok itu dan penubuhan pejabat maya India di Sekretariat IORA di Ebene, Mauritius dalam masa terdekat. – UTUSAN

The post Malaysia sedia terima khunsa sertai IORA menjelang 2030? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *