PUTRAJAYA: Wakil Khas Perdana Menteri, Tan Sri Azhar Azizan Harun terus menekankan kepentingan untuk pengukuhan pelbagai kerjasama antara beberapa rakan dialog ASEAN.

 Menurut kenyataan Wisma Putra, beliau yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja itu berharap usaha tersebut akan dapat diperteguhkan termasuk dengan China bagi menyokong liberalisasi ekonomi dan sistem perdagangan pelbagai hala serta menyarankan proses kesalinghubungan dapat dipertingkatkan.

Azhar turut menyarankan agar semua anggota ASEAN dan negara rantau Asia Timur tersebut mampu berusaha ke arah memperkuatkan lagi isu rantaian bekalan global yang lebih kukuh.

Perkara tersebut antara disentuh beliau ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-25 di ibu kota Phnom Penh semalam yang dihadiri Perdana Menteri China, Li Keqiang.

Para pemimpin blok serantau 10 negara rantau Asia Tenggara itu juga menyorot kemajuan pernah dicapai dalam hubungan dialog melalui Perkongsian Strategik ASEAN-China 2021-2025 melibatkan bidang keamanan dan kemakmuran bersama selain membincangkan isu Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China.

Mesyuarat itu kemudian memperakukan tiga kenyataan bersama antaranya ialah kerjasama keselamatan makanan serta pengukuhan pembangunan bersama dan mampan dan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan bersempena ulang tahun ke-20 pemeteraiannya dengan ASEAN.

Para pemimpin terlibat turut membincangkan usaha pemulihan pasca Covid-19 serta bertukar pandangan berhubung cabaran serantau seperti di Myanmar dan Rusia-Ukraine.

Azhar mewakili Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak dapat datang atas sebab domestik manakala Myanmar pula tidak dijemput hadir kerana junta disekat pihak Sekretariat ASEAN.

Semalam, beliau turut menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan Ke-23 dengan menggalakkan ASEAN-Korea Selatan bekerjasama menangani kesan pandemik selain mempelawa pelaburan dari Korea Selatan dalam pembinaan kapasiti teknologi hijau termasuk usaha pembangunan kenderaan elektrik di negara ini.

Mesyuarat berkenaan juga mengalu-alukan hasrat Korea Selatan untuk mewujudkan Perkongsian Strategik Komprehensif dengan ASEAN seperti dilaksanakan bersama rakan blok lain. – UTUSAN

The post Malaysia tekan kepentingan perkukuh hubungan dialog ASEAN   appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *