KUANTAN: Malaysia menetapkan pendirian tidak bersetuju dengan sebarang keputusan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya baharu di bawah pemerintahan tentera junta,  pada Ogos tahun hadapan.

Myanmar baharu sahaja menjalankan pilihan raya sebelum rampasan kuasa dilakukan tentera junta yang diketuai Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, pada Februari 2021.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, bantahan ini berikutan junta dilihat tidak mempunyai moral untuk bercakap tentang pilihan raya yang bakal diadakan itu.

Menurutnya, sebagai negara demokrasi, Malaysia percaya rakyat Myanmar mahukan sebuah negara yang demokratik dan itu merupakan perkara dinyatakan pada pilihan raya lalu.

“Dalam pada itu, Myanmar baharu sahaja selesai melakukan pilihan raya sekali gus telah diyakini bebas oleh banyak pihak tertentu khususnya daripada pemerhati luar negara.

“Kumpulan demokrasi telah menang besar ketika itu tetapi belum sempat mereka mentadbir kerajaan, junta telah mengambil alih kuasa mereka pada Februari 2021.

“Kita berpendapat daripada mereka melakukan pilihan raya, lebih baik dikembalikan sahaja kuasa kepada kumpulan demokrasi yang memenangi pilihan raya tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan panggilan secara dalam talian dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres di Pejabat Parlimen Indera Mahkota di sini. 

Keadaan di Myanmar semakin buruk termasuk pergolakan politik dan kegiatan ekonomi yang lumpuh sejak rampasan kuasa pada Februari tahun lalu yang menyaksikan pemimpin dipilih rakyat, Aung San Suu Kyi digulingkan dan ditahan tentera junta Myanmar.

Ia sekali gus menamatkan demokrasi di negara itu sejak beberapa dekad dan mencetuskan bantahan di seluruh negara termasuk masyarakat antarabangsa.

Terdahulu, kaunselor di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Derek Chollet, menyatakan pilihan raya itu hanyalah percubaan pemerintah tentera yang mengguling kerajaan demokrasi negara itu bagi memanipulasi rantau ini. 

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pilihan raya yang akan dilakukan itu mengambil masa yang lebih panjang dan bukan boleh dilakukan sewenangnya.

Jelasnya, untuk Myanmar melakukan semula pilihan raya akan mengambil masa lama berikutan banyak peraturan pilihan raya perlu dikaji semula.

“Banyak peraturan yang mesti dikaji semula agar, keputusan pilihan raya nanti akan lebih adil. Junta nak buat pilihan raya tahun depan, mereka sudah pinda akta untuk pilihan raya tetapi ia tidak dipersetujui oleh pihak berkepentingan.

“Junta buat undang-undang yang berat sebelah dan hanya menyebelahinya (junta),” katanya.

Sementara itu, dalam perbincangan secara dalam talian bersama Gutteres, Saifuddin menyatakan konsensus lima yang dilaksanakan dilihat masih tidak menunjukkan kemajuan yang jelas dalam menyelesaikan isu pergolakan Myanmar.

“Saya beritahu beliau (Antonio Guterres) bahawa Malaysia akan tetap dengan kerangka kerja yang dicadangkan kerana ianya mempunyai matlamat yang jelas. 

“Saya telah bertemu dengan semua pihak berkepentingan dan juga merakamkan penghargaan kepada pihak setiausaha agong PBB yang komited dalam menyelesaikan masalah di Myanmar ini,” katanya.-UTUSAN

 

The post Malaysia tidak setuju pilihan raya baharu di Myanmar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *