PETALING JAYA: Malaysia dipilih menjadi tuan rumah edisi pertama Sukan SEA Pekak (SEADG) 2022 anjuran Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dengan kerjasama Persekutuan Sukan Pekak Asean (ADSF).

Edisi pertama yang dijadualkan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur bermula 21 hingga 27 November depan bakal mempertandingkan empat jenis sukan iaitu futsal, olahraga, tenpin boling dan badminton.

Bagi presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn, temasya SEADG 2022 ini dikhaskan untuk warga pekak rantau Asean dan ini adalah program sukan yang pertama kali dianjurkan dan masih baru di peringkat Asean memandangkan atlet pekak tidak boleh menyertai sukan di temasya Para Asean mahupun Paralimpik.

“Penganjuran ini sudah mendapat pengiktirafan di Filipina pada 2019 dalam satu majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama Presiden Persekutuan Sukan Pekak Asean (ADSF), Kamarzaman Harun dan ahli gabungan yang lain.

“Ini adalah sejarah paling bermakna kerana buat pertama kalinya Malaysia diangkat untuk menjadi tuan rumah bagi temasya peringkat Asean ini dan saya berasa bangga,” katanya pada sidang akhbar SEADG 2022 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) hari ini.

Sebagai tuan rumah, Malaysia akan mengambil bahagian dalam kesemua empat sukan yang dipertandingkan dan meletakkan sasaran untuk meraih 10 pingat emas.

Dijangkan sebanyak 500 atlet dan pegawai dari Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina serta termasuk Malaysia akan memeriahkan edisi pertama temasya ini.

Dalam masa sama, wakil daripada Knusford Berhad, Zahidin Salleh menyampaikan tajaan berjumlah RM50,000 kepada MSDeaf bagi membantu melicinkan perjalanan temasya sulung itu. – UTUSAN ONLINE

The post Malaysia tuan rumah edisi pertama SEADG appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *