DUBAI:  Harapan menggunung untuk melihat skuad badminton negara untuk menghabiskan saingan peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Campuran Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 sebagai juara kumpulan dinafikan India selepas tewas dengan keputusan sebentar tadi.

Wakil pertama negara yang turun berentap merupakan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia gagal untuk menghadirkan pertama negara apabila dikejutkan lawan, H.S Prannoy yang mengheret perlawanan sehingga set penentuan sebelum menang dengan keputusan 21-18, 13-21, 23-25.

Skuad Malaysia kemudian mempertaruhkan pemain muda, Wong Ling Ching untuk berentap dengan pemain No. 9 dunia, Pusarla V. Sindhu dalam acara perseorangan wanita, bagaimanapun Ling Ching yang baru sahaja menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan sukar untuk menyaingi bekas juara dunia 2019 itu sebelum akur tewas dengan keputusan 12-21, 17-21.

Harapan Malaysia kembali bersinar apabila beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mempamerkan aksi kemas untuk menghadirkan mata pertama negara dalam perlawanan ini selepas mengenepikan cabaran gandingan Chirag Shetty yang terpaksa berpasangan dengan Dhruv Kapila dengan keputusan 21-16 21-10.

Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M.Thinaah seharusnya menyamakan kedudukan untuk Malaysia, bagaimana mereka dikejutkan oleh gandingan, Tressa Jolly dan Gayatri Pullela yang berada di ranking ke 19 dunia dengan keputusan 21-23, 15-21, sekaligus mengesahkan kemenangan India sebagai juara Kumpulan B.

Cubaan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei untuk cuba merapatkan jurang mata juga tidak kesampaian apabila mereka juga turut dikejutkan oleh pasangan India, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto dengan keputusan 19-21, 21-19, 21-16.

Kekalahan ini tidak merencatkan status Malaysia untuk bergelar naib juara Kumpulan dan layak beraksi di suku akhir.

 

The post Malaysia tunduk 1-4 kepada India, mara ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan B appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *