KUALA LUMPUR: Penyanyi, Atilia Haron memaklumkan ibunya, Salamiah Hassan berada dalam keadaan baik di Australia, namun masih berduka selepas kehilangan suaminya, Allahyarham Gerry Hughes, 3 November lalu.

Atilia yang baru pulang dari Tasmania, berkata, dia merancang bertemu arwah Gerry buat kali pertama minggu lalu, tetapi tidak menyangka, bapa tirinya terlebih dahulu menghadap Illahi.

“Sepatutnya minggu lepas saya bertemu Allahyarham buat kali pertama kerana sebelum ini kami cuma berbual menerusi panggilan video sahaja. Tetapi, Tuhan lebih sayang dia. Jadi sebagai anak, saya perlu berada di sana untuk teman mama.

“Alhamdulillah, mama semakin baik. Cuma kadang-kadang, dia nampak sedih. Gerry sangat baik dengan mama dan kami semua. Anak-anak Gerry dan keluarganya pun sangat baik. Mama masih di sana, belum merancang untuk pulang.

“Tetapi, kalau nak cakap mama rancang tinggal di sana, saya rasa tidak. Dia akan ulang-alik kalau ada persembahan dan bertemu keluarga. Di sana, dia sendirian sahaja,” katanya.

Atilia berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media Riverjazz Festival yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 November ini di lokasi ikonik Kuala Lumpur, River Of Life.

Dalam pada itu, mengimbau awal perkahwinan Salamiah dan Allahyarham, Atilia berkata, dia sendiri tidak tahu ibunya sedang mengenali seseorang dan bersyukur apabila ibunya mahu berkahwin dengan lelaki yang sangat menyayanginya.

“Memang sedih, tetapi saya lihat ini sebagai satu ikatan yang cukup romantis. Mereka kawan lama sebenarnya, hubungan jarak jauh. Mama perahsia. Bila betul-betul mahu kahwin, baru dia bagitahu saya.

“Alhamdulillah, Gerry meninggal dalam Islam. Peribadinya juga sangat baik, kita doa yang baik-baik untuknya,”katanya.

Sementara itu, bercakap soal Riverjazz, Atilia berkata, dia teruja apabila sebuah festival muzik yang memfokuskan genre jazz akan diadakan terutama di lokasi ikonik di ibu kota.

“Lama saya tunggu festival jazz seperti ini. Industri muzik kita memang kekurangan festival muzik yang memfokuskan genre jazz. Orang cakap jazz ini muzik untuk orang kaya. Hakikatnya tidak dan peminatnya juga ramai.

“Saya akan membuat persembahan pada Sabtu bersama pemuzik handalan. Tetapi, saya juga teruja hadir pada Ahad untuk melihat persembahan rakan-rakan, terutama dari Indonesia,”katanya.

Konsert Riverjazz yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Karyawan diadakan secara percuma dan menampilkan barisan pemuzik jazz hebat lain antaranya Sore (Indonesia), Steve Thornton, John Lewis dan ramai lagi.

The post Mama okay, cuma masih berduka – Atilia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *