KOTA KINABALU: Berhadapan dengan dua calon gergasi di Penampang tidak sedikit pun membuatkan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Kenny Chua rasa terpinggir daripada persaingan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Walaupun dikatakan calon bukan pilihan (underdog) namun, Kenny yakin gerak kerja yang dilakukan selama ini membolehkan beliau memperoleh undi daripada rakyat di kawasan Parlimen itu.

“Orang cakap saya (calon) underdog namun, saya punya kelebihan kerana berada dalam kerajaan yang memerintah Sabah hari ini.

“Semasa menjadi wakil rakyat dan bekas Yb, saya sentiasa turun padang dan buat kerja. Malah, kami juga ada pusat perkhidmatan sendiri dan setakat ini ramai yang telah kami bantu jadi saya sangat positif akan memperoleh sokongan.

“Kalau dibandingkan dengan dua ‘giant’ itu memang mereka ada kelebihan sebab mereka timbalan presiden dan seorang lagi bakal presiden tapi, kalau betul-betul yang mampu buat kerja, saya mampu dahului mereka,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika beliau rasa tersisih kerana dikatakan tidak mampu memberi saingan kepada dua nama besar di Parlimen Penampang.

Dua calon gergasi di Penampang ialah Datuk Darell Leiking merupakan Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan) dan seorang lagi, Datuk Ewon Benedick yang bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Menurut beliau, gerak kerja yang dilakukan selama ini lebih penting kepada penduduk di kawasan Parlimen itu kerana mereka mahu seorang wakil rakyat yang sentiasa ada membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, beliau yakin mampu memberi saingan di Parlimen Penampang jadi, beliau berharap rakyat di kawasan itu akan memilih calon dari parti kerajaan bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kemudahan infrastruktur dibawa ke kawasan tersebut.

Jika dilihat, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Penampang dikuasai oleh parti pembangkang maka, pembangunan tidak dapat dilakukan kerana kekangan kewangan.

Justeru, sekiranya rakyat di kawasan itu mahukan pembaharuan maka, beri sokongan kepada calon GRS menang pada kali ini.

“Beri peluang kepada kami selama satu penggal, sekiranya saya gagal membawa pembangunan maka, pilihan raya akan datang, rakyat boleh tolak saya,” katanya.

Pada PRU-15, Parlimen Penampang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Kenny, Darell Leiking dan juga Ewon Benedick. Kerusi Parlimen itu disandang oleh Darell yang menang dengan majoriti 23,473 undi pada PRU-14.

The post Mampu saingi dua nama besar di Penampang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *