PUTRAJAYA: Negara dipercayai mampu menyelamatkan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran terus berlaku dalam sistem perolehan kerajaan jika amalan rasuah dapat dihentikan di semua peringkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ini termasuk pengubahsuaian pendekatan cara lama termasuk tanpa campur tangan politik atau kepentingan golongan peniaga besar dalam sebarang kontrak kerajaan.

Walaupun baru mengetuai Kementerian Kewangan tidak sampai dua bulan, namun beliau mendakwa sudah mengenal pasti berlaku kebocoran tinggi sekitar RM3 bilion ke RM4 bilion yang boleh diselamatkan termasuk yang ‘dialihkan’ kepada parti politik tertentu.

“Kadang-kadang rasuah ini sistemik. Yang atas beratus juta ringgit (dapat), yang bawah puluh ribu. Jadi macam mana nak tangani dengan cara besar?

“(Contohnya) saya bincang dengan Kementerian Pertahanan untuk tentukan kaedah pembelian senjata yang lebih profesional. Biarkan urusan berkenaan untuk TUDM, TLDM, TDM bertanggungjawab cari barangan terbaik dan runding antara kerajaan tanpa campur tangan politik atau kepentingan-kepentingan peniaga.

“Dari pengalaman saya, isu seperti banjir, pembelian senjata, kalau ini kita serahkan kepada yang upaya (untuk mengendalikannya), (maka) kita dapat kurangkan (ketirisan).

“Kita alami kebocoran tinggi, belum sampai dua bulan saya di Kementerian Kewangan saya kenal pasti ada RM3 bilion ke RM4 billion boleh diselamatkan, bocor kepada parti dan sebagainya. Kita boleh selamatkan mungkin RM10 billion daripada kebocoran yang terus berlaku dalam sistem perolehan,” katanya ketika berucap dalam majlis dialog Belanjawan 2023 di sini hari ini. – UTUSAN

The post Mampu selamatkan hingga RM10 bilion kewangan negara daripada terus bocor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *