KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua pihak memanfaatkan teknologi digital dengan sebaiknya demi kebaikan masa depan ummah.

Titah baginda, persediaan masa depan melalui kemajuan teknologi digital juga seharusnya diperhebatkan.

Baginda bertitah, sektor-sektor merangkumi pendidikan atau perkhidmatan kerajaan perlu memanfaatkan teknologi digital ini agar setiap masyarakat bersedia menempuh pasaran dunia yang semakin terbuka luas.

“Kesediaan masyarakat terhadap teknologi digital bukan hanya sekadar memenuhi keperluan hidup masa kini, tetapi adalah penting untuk mempersiapkan ummah untuk menghadapi masa depan yang semakin mencabar,” titah baginda selepas berkenan menerima kunjungan mengadap Presiden Alif Society dari negara Mauritius, Dawood Auleear di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Dr. Zaliman Sauli: Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Unimap, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail.

Dalam majlis yang sama, Dawood turut mempersembahkan harapan beliau agar Tuanku Syed Faizuddin dapat berangkat menyampaikan titah ucaptama dalam persidangan bertajuk ‘Digital Technologies For Future Education’ di Port Luis, Mauritius pertengahan tahun hadapan.

Untuk rekod, Alif Society merupakan sebuah badan amal pernah menghantar beberapa orang pelajar cemerlangnya melanjutkan pelajaran di Unimap sebelum ini. – UTUSAN

The post Manfaatkan teknologi digital demi masa depan ummah – Raja Muda Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *