KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir yang masih terjejas di Terengganu terus berkurangan kepada 3,908 orang daripada 1,182 keluarga setakat pukul 4 petang ini.

Banjir di daerah Setiu pula pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup dan semua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, ketika ini hanya 30 PPS masih dibuka di enam daerah di Terengganu.

Menurutnya, mangsa tertinggi ialah di daerah Kuala Nerus iaitu seramai 1,380 orang daripada 384 keluarga diikuti Hulu Terengganu (1,105 orang daripada 418 keluarga), Dungun (575 orang daripada 164 keluarga) dan Kuala Terengganu (539 orang daripada 154 keluarga).

“Dua lagi daerah juga semakin pulih sepenuhnya iaitu Besut hanya 233 orang mangsa daripada 61 keluarga dan Marang yang melibatkan satu PPS untuk 76 orang penghuni madrasah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air di semua sungai di Terengganu kini berada dalam ketinggian yang normal.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati mangsa yang telah pulang ke rumah giat melakukan kerja pembersihan berikutan cuaca yang baik sepanjang hari ini. – UTUSAN

The post Mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 3,908 orang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *