KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan mengagihkan bantuan khas banjir sebanyak RM1,OOO dan RM10,000 kepada keluarga mangsa bencana itu di negeri ini bermula bulan depan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, bantuan khas tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas.

“Proses agihan itu mungkin mengambil masa sedikit dan diserahkan selepas kerajaan negeri mendapat senarai lengkap daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bantuan khas RM10,000 akan diberikan kepada keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir manakala RM1,000 kepada KIR yang berdaftar sebagai mangsa banjir.

“Mekanisme bantuan akan diberikan secara tunai seperti amalan kebiasaan sebelum ini dan kita jangka akan agihkan pada Januari atau Februari nanti,” katanya.

Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri sedang meneliti bentuk bantuan lain yang boleh dihulurkan bagi meringankan beban mangsa banjir di Terengganu.

Selain bantuan khas secara tunai, beliau berkata, antara keperluan yang diperlukan mangsa pasca banjir termasuk pembaikian atau pembinaan semula kediaman masing-masing.

“Paling penting sekarang adalah mangsa dapat balik ke rumah dahulu. Masalah dihadapi juga tidak sama, ada yang perlu bantuan dari segi infrastruktur atau pembaikian rumah dan suntikan tunai.

“Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan masing-masing akan meneliti perkara ini untuk dibawa ke perhatian kerajaan negeri.

“Bagi kehilangan, kerosakan dokumen penting seperti kad pengenalan dan geran tanah, saya percaya jabatan berkaitan akan berusaha memudahkan rakyat atau mangsa banjir,” tambahnya. – UTUSAN

 

The post Mangsa banjir di Terengganu dapat bantuan khas bulan depan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *