KUALA TERENGGANU: Seramai 138 mangsa banjir daripada 41 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu setakat pukul 4 petang ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, pada masa ini hanya Besut satu-satunya daerah yang masih terjejas banjir ketika ini.

“Terdapat dua PPS beroperasi di daerah tersebut iaitu Masjid Kampung La yang menempatkan 126 mangsa daripada 38 keluarga dan Balai Raya Kampung Pantai (12 orang daripada tiga keluarga),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Di Kuala Terengganu, satu-satunya PPS yang dibuka tengah hari tadi iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Losong telah ditutup pada pukul 2.40 petang.

Terdahulu, pada pukul 12 tengah hari, tiga PPS di Kuala Nerus telah ditutup apabila 635 mangsa daripada 184 keluarga dibenarkan pulang setelah banjir di pekarangan rumah mereka surut sepenuhnya.

Begitu juga di Marang, sekumpulan 76 penghuni di sebuah madrasah turut dibenarkan pulang setelah kawasan sekitarnya pulih seperti sediakala.

Sementara itu, keadaan cuaca juga cerah di kebanyakan kawasan manakala paras air di sungai-sungai utama di negeri ini turut kembali ke paras normal hari ini. 

Mangsa-mangsa banjir yang telah pulang ke rumah dari PPS pula terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan. – UTUSAN

The post Mangsa banjir di Terengganu tinggal 138 orang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *