KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Johor menurun kepada 5,103 orang berbanding 14,023 orang sekali gus menyaksikan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup selepas mangsa terlibat pulang ke rumah masing-masing.

Di SABAH, mangsa banjir menurun kepada 2,639 orang berbanding 10,347 mangsa dan semua PPS di tiga daerah iaitu Telupid, Kota Marudu serta Tawau ditutup tengah hari semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, kesemua mangsa yang berjumlah 7,358 orang di daerah yang paling teruk terjejas banjir sebelum ini iaitu Kota Marudu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir pulih sepenuhnya.

Sehingga pukul petang semalam, sebanyak 2,639 mangsa daripada 927 keluarga masih kekal berada di 19 PPS yang dibuka di Sabah sejak Rabu lalu.

Di Pitas, 2,168 mangsa daripada 798 keluarga masih berada di sembilan PPS manakala di Paitan 429 mangsa banjir daripada 119 keluarga dipindahkan ke PPS.

Sementara itu, di Lahad Datu, 42 mangsa daripada 10 keluarga masih kekal berada di sebuah PPS yang dibuka sejak petang kelmarin.

Di JOHOR, tujuh PPS ditutup menjadikan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 2,464 orang daripada 674 keluarga, petang semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, sejumlah 28 PPS masih beroperasi di tujuh daerah, iaitu Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.

Beliau berkata, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding 3,676 mangsa banjir daripada 1,020 keluarga di 41 PPS yang direkodkan kelmarin..

“Pengurangan mangsa banjir ini susulan penutupan tujuh PPS di Segamat dan Mersing. Di Segamat, penutupan sebuah PPS di Dewan Balai Raya Kampung Bukit Tunggal yang menempatkan penduduk kampung terbabit.

“Enam PPS di Mersing yang ditutup ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, SK Air Papan, SK Sri Mersing, Sekolah Agama (SA) Mersing Kanan, SA Bukit Timbalan dan SA Pengkalan Batu,” katanya. – UTUSAN

The post Mangsa banjir Sabah, Johor menurun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *