IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  dengan menggariskan 75 inisiatif yang akan dilaksanakan untuk rakyat sebaik sahaja mendapat mandat daripada rakyat.

Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani berkata, inisiatif itu yang didukung lima usaha dan empat fokus adalah kesinambungan daripada Pelan Perak Sejahtera 2030 sebelum ini dan tidak dipetakan semata-mata untuk memasuki medan PRU15.

Menurutnya, manifesto ini dipetakan berdasarkan kajian yang teliti serta dibina hasil garapan idea, pandangan dan pengharapan segenap lapisan rakyat Perak yang mahukan sebuah negeri yang makmur dan sejahtera.

“Lima usaha yang digariskan dalam manifesto BN Perak adalah kestabilan politik, kepimpinan dan pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kesejahteraan ekonomi, kemakmuran sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Manifesto BN Negeri Perak di Padang Permainan Meru Raya, Taman Meru Permai di sini malam ini.

Menurutnya, bagi menjayakan usaha murni itu, BN Perak akan turut memberikan penekanan kepada empat fokus iaitu sekuriti makanan, pendidikan rakyat, perumahan rakyat dan kesihatan rakyat.

Beliau berkata,  sebagai usaha kestabilan politik, BN Perak bertekad untuk memastikan kestabilan kerajaan sentiasa diutamakan bagi membolehkan ekonomi berkembang, pekerjaan dicipta, pelabur dibawa masuk dan membina naratif politik baharu yang menjamin kestabilan demi kesejahteraan rakyat dan negeri Perak.

Katanya, BN Perak berikrar memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

“Antara inisiatif itu termasuklah memastikan Enakmen Anti Lompat Parti dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras dengan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Peringkat Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, Saarani berkata, jika berjaya mendapat mandat dua pertiga pada PRU15, BN Perak akan berusaha meminda Enakmen Perlembagaan negeri bagi melantik ADUN dari kumpulan minoriti dan golongan belia. 

Menurutnya, ADUN terbabit adalah wakil rakyat lantikan, namun, ia memerlukan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak terlebih dahulu.

“Untuk itu ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya. –UTUSAN

 

 

The post Manifesto BN Perak garis 75 inisiatif  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *