IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak menawarkan manifesto 50,000 tapak rumah kepada mereka yang belum memiliki kediaman sendiri jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tawaran itu juga termasuk untuk mana-mana keluarga yang menetap di kawasan setinggan.

“Dalam hal ini, kita berpandangan yang nasib golongan itu perlu mendapat pembelaan sewajarnya. Oleh itu, keluarga yang belum memiliki rumah diberi peluang memohon tapak bagi membolehkan mereka membina rumah mengikut kapasiti keluarga.

“Insya-Allah, sebanyak 50,000 keluarga dijangka menerima faedah daripada inisiatif berkenaan,” katanya ketika berucap pada pelancaran Manifesto PN Perak bagi PRU15 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria; Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng.

Manifesto bertemakan ‘PN Baik Perbaiki Negeri Bersama Agenda Inisiatif Kemakmuran’ itu menggariskan lima teras utama dengan fokus terarah kepada pendidikan, sosial, wanita, infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.

Menurut Ahmad Faizal, beliau cuba menyelesaikan masalah setinggan di Perak ketika menjadi Menteri Besar tetapi tidak sempat kerana ditumbangkan selepas kira-kira dua tahun.

“Tentu sekali apa juga permasalahan yang ada kita akan cuba selesaikan satu persatu dan secara serius kerana kita dapati banyak tanah-tanah yang telah diduduki sekian lama tidak diselesaikan dengan serius. Ia didengari, kemudian cuba diselesaikan tetapi tidak dapat diputuskan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya tidak menjanjikan bulan dan bintang seperti sesetengah pihak, namun manifesto yang menawarkan 20 inisiatif itu diharap dapat memenuhi kehendak dan tuntutan rakyat.

Jelasnya, antara inisiatif yang ditawarkan adalah membabitkan baucar sehingga RM1,000 bagi pembelian gajet termasuk tablet dan komputer riba di kedai-kedai terpilih.

Katanya, bagi memastikan pencapaian akademik yang tinggi, PN Perak turut menawarkan baucar pembelian buku untuk pelajar bagi menggalakkan budaya membaca.

“Bantuan perkahwinan antara inisiatif yang dicadangkan PN Perak dalam usaha memudahkan pasangan di negeri ini untuk melangsungkan perkahwinan. Kita juga bertekad untuk menaikkan nilai kad Kasih Ibu Darul Ridzuan daripada RM290 kepada RM400 sebulan. Ia sejajar dengan kenaikan kadar pembelian barangan asas serta perbelanjaan kesihatan,” katanya. – UTUSAN

The post Manifesto PN Perak tawar 50,000 tapak rumah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *