PETALING JAYA: Gara-gara berang isteri mengajak ke mahkamah syariah untuk memfailkan perceraian, seorang lelaki menendang paha dan pinggang mangsa dalam kejadian di Taman Uda Ampang di sini semalam.

Mangsa berusia 30 tahun bekerja sebagai guru tadika dan mempunyai seorang anak berusia lapan bulan hasil perkahwinan dengan suspek.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa pada mulanya ke rumah ibu mentuanya pada pukul 10.30 pagi untuk bertemu dengan suaminya yang berusia 29 tahun.

Menurut beliau,  mangsa mahu  mengajak suaminya ke mahkamah bagi tujuan perceraian namun tindakan wanita itu mencetuskan kemarahan si suami.

“Suspek terus menendang paha serta pinggang mangsa dua kali. Tindakan suspek itu menyebabkan si isteri dirawat di Hospital Ampang kerana mengalami kecederaan tisu pada bahagian yang ditendang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, susulan itu, polis menahan suspek pada pukul 6.20 petang sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Ujarnya, suspek bekerja sebagai jurujual dan sudah berkahwin dua tahun.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

 

The post Marah diajak bercerai, suami tendang  isteri sampai cedera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *