ALOR GAJAH: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menzahirkan rasa kecewa selepas bahan kempennya didakwa disabotaj pihak tidak bertanggungjawab.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Badan Pimpinan negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka itu berkata, papan kempen gergasi PN di Kuala Sungai Baru telah ditumbangkan, dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.

Jelasnya, agak sukar ia tumbang disebabkan faktor cuaca seperti angin kencang kerana bahan kempen lain berdekatan tidak terjejas.

“Selain itu, terdapat juga kesan torehan pisau manakala bendera dan bahan kempen lain turut dicabut. Susulan itu, saya minta jentera parti membuat laporan polis.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi dalam tempoh-tempoh akhir kempen ini apa salahnya kita berkempen secara berhemah. Jangan memburukkan pihak lawan.

“Sebaiknya beritahu kepada orang Masjid Tanah apa yang hendak dilakukan sekiranya diberi mandat dan kehebatan calon masing-masing. Itu yang yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, mengenai bahan kempennya yang dilihat memfokuskan golongan wanita, Mas Ermieyati berkata, kaum hawa mewakili lebih 50 peratus daripada keseluruhan pengundi dalam Parlimen berkenaan.

Menurutnya, beliau melihat kaum hawa mempunyai kebijaksanaan dan kematangan untuk memilih pemimpin yang dapat memperkasa peranan wanita.

“PN sendiri mengangkat tinggi martabat wanita apabila Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan saya sebagai calon pertama yang bertanding di Melaka. Saya adalah wanita dan pengumuman itu adalah satu penghargaan kaum hawa di seluruh negara.

“Selain daripada itu, kita juga mampu berhadapan dengan apa juga cabaran. Walau apa tekanan yang kita hadapi, jika kita tahu apa yang dilakukan ini memberi manfaat kepada orang lain, maka menjadi satu kepuasan kepada saya sebagai calon,” ujarnya. – UTUSAN

The post Mas Ermieyati kecewa bahan kempen PN disabotaj appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *