ALOR GAJAH: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berharap kejayaannya mempertahankan kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan memadamkan gelaran ‘katak’ dan pengkhianat dalam kehidupannya.

Beliau berkata, kejayaan dikecapinya itu bukan mudah setelah melalui pelbagai cabaran dan dugaan termasuk disabotaj ketika berkempen.

Katanya, kemenangan tersebut membuktikan tiada yang mustahil, sekiranya seluruh jiwa ikhlas bekerja serta berkhidmat untuk masyarakat.

“Bukan mudah sebenarnya kerana perlu melalui pelbagai cabaran getir. Dengan kemenangan ini saya berharap dapat memadamkan perkataan ‘katak’ dan pengkhianat dalam hidup saya. Tidak ada yang mustahil sekiranya kita berkhidmat dan bekerja untuk masyarakat. Segalanya akan menjadi mudah apabila diizinkan olehnya.

“Terima kasih kepada pengarah jentera pilihan raya serta pengurusan jentera yang baik berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu yang mendorong kepada kejayaan saya hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Masjid Tanah di sini, malam tadi.

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Masjid Tanah, Saifuddin Abdul Karim mengesahkan kemenangan Mas Ermieyati apabila meraih 25,604 undi dengan majoriti 4,411 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid yang memperoleh 21,193 undi; calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman (7,445 undi) dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar (507 undi) yang turut kehilangan deposit.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka itu berkata, beliau komited untuk terus bekerja bagi memastikan segala perancangannya mengikut pelan tindakan secara berperingkat.

“Sebagaimana saya katakan akan terus bekerja. Saya juga akan memastikan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang mengikut seperti apa yang telah saya rancangkan. Terima kasih juga kepada pengundi yang matang, walaupun ada antara mereka penyokong PH dan UMNO. Mereka tetap memilih saya mungkin sebagai mengiktiraf kerja ataupun prestasi kerja saya selama ini,” ujarnya. – UTUSAN

The post Mas Ermieyati mahu padam panggilan ‘katak’, pengkhianat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *