ALOR GAJAH: Sebuah kafe makanan halal Vietnam di Kampung Teluk Belanga, Masjid Tanah dekat sini menawarkan kelainan kepada orang ramai yang mahu menukar selera dengan menyediakan masakan tradisi Melayu Islam Champa Vietnam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Cafe In The Farm, Saphinah Mohamad, 42, berkata, tujuannya memperkenalkan masakan tradisi keluarga itu adalah untuk menambah satu lagi pilihan masakan kepada masyarakat tempatan.

Menurutnya, kesemua menu yang ditawarkan tidak menggunakan bahan pengawet, perasa tambahan dan pewarna tiruan kerana aspek kesihatan pelanggan sangat dititik-beratkan.

“Saya berketurunan Melayu Champa dari Ho Chi Minh, Vietnam dan sudah lebih 20 tahun menetap di Malaysia. Saya dapati masih belum ada menu masakan Vietnam di sekitar Masjid Tanah, kalau ada pun masakan Melayu Champa Kemboja di sekitar Tanjung Minyak.

“Justeru, saya ambil keputusan untuk cuba masakan tradisi keluarga di sini dan alhamdulillah, perniagaan saya semakin diterima baik. Selain menjaga kualiti, saya juga mahu pelanggan menikmati hidangan yang sihat.

“Saya hanya menggunakan bahan-bahan organik sendiri seperti sayur-sayuran dan herba yang ditanam di sekeliling kafe. Ramai yang tidak sedar pemakanan yang tidak seimbang dan mengandungi bahan kimia boleh mempengaruhi kesihatan tubuh badan,” katanya ketika ditemui.

Saphinah menambah, pada awalnya dia tidak yakin terhadap penerimaan masyarakat setempat terhadap masakan Vietnam, walaupun kafenya tampil dengan menu dan konsep baharu.

Katanya, persepsi terhadap perkataan Vietnam itu sendiri membuatkan orang ramai ragu-ragu, lantas sukar menarik pelanggan bertandang.

“Pada awalnya agak susah juga hendak berniaga kerana sebut sahaja Vietnam, macam-macam mereka fikirkan seperti status halal dan bahan yang digunakan. Ada juga yang datang dan bertanya terlebih dahulu mengenai kafe ini, jadi saya tiada masalah untuk menerangkannya.

“Sewaktu mula buka dahulu hanya dapat 10 pelanggan sehari, saya bersyukur lama-kelamaan jumlah itu semakin meningkat. Sebanyak 80 peratus pelanggan saya adalah pelancong termasuk dari luar negara,” ujarnya. –UTUSAN

 

 

The post Masakan Melayu Champa di bumi Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *