MARAN: Masalah tenaga buruh asing bekerja di sektor perladangan masih di takuk lama walaupun dibangkitkan berkali-kali oleh peneroka dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Felda di seluruh negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia beberapa pemimpin peneroka Felda mengakui ma­sa­lah kekurangan buruh ­asing masih berlaku di 11 wilayah Felda di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Gabungan Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar, 69 berharap masalah kekurangan buruh ladang dapat diatasi secara menyeluruh bagi mengelakkan pembaziran dan ketirisan pendapatan warga Felda.

Menurutnya, walaupun Felda ada membekalkan tambahan buruh asing tetapi tidak dapat menampung keperluan tenaga untuk menuai sawit dan menyelenggara ladang milik peneroka.

Tambah beliau, majoriti peneroka berusia lebih 60 tahun tidak mampu lagi bekerja berat di ladang manakala generasi baharu tidak berminat bekerja di sektor perladangan.
Biro Sosial Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Gabungan Wilayah Jengka, Razak Daud, 60, optimis isu kekurangan tenaga buruh asing dapat diatasi awal tahun baharu 2023 berikutan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini berikutan arahan Perdana Menteri yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyegerakan kelulusan di sektor perladangan, industri perkhidmatan dan pembinaan,” katanya.

Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, kekurangan tenaga buruh asing di ladang menyebabkan berlakunya pembaziran dan ketirisan pendapatan pene­roka lebih tinggi berbanding sekarang.

Ketua Kampung Felda Jengka 1, Abdullah Ani, 66, berkata, kekurangan tenaga buruh asing menyebabkan pusingan memetik hasil sawit hanya sekali sebulan berbanding pusingan wajib dua kali sebulan.

Tambah beliau, kekangan ini menyebabkan ada buah sawit yang ranum tidak sempat dipetik dan membusuk di pokok.

“Hal demikian itu bukan sahaja mendatang kerugian kepada peneroka tetapi juga industri sawit negara.

“Pada masa ini harga buah tandan segar (BTS) sekitar RM800 satu tan metrik memberi sedikit kelegaan kepada peneroka tetapi mereka bermasalah dalam pengeluaran hasil di ladang,” katanya.

Ketua kampung Felda New Zealand, Wilayah Kuantan, Wan Ahmad Ahmad Putra Wan Sulaiman, 60, berkata, buruh asing begitu diperlukan di rancangan ini bagi melaksanakan tuaian sawit dua pusingan sebulan.

Katanya, tuaian wajib dua pusingan membolehkan peneroka memperolehi pendapatan secara optimum selari dengan harga BTS ketika ini. –UTUSAN

The post Masalah buruh asing terus hantui peneroka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *