PETALING JAYA: Kerajaan bakal melaksanakan perubahan ke atas pelekat cukai jalan kenderaan yang didakwa tidak berkualiti oleh masyarakat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau mengambil maklum berkaitan perkara yang membelenggu rakyat itu dan akan mengemukakan penyelesaian dalam tahun ini.

“Saya tahu ramai orang mengadu berkenaan sticker cukai jalan yang kurang berkualiti. Perkara itu memang dalam perhatian kami dan satu perubahan besar bakal dilaksanakan dalam tahun ini.

“Sebarang pelaksanaan inisiatif baharu akan dirancang dengan rapi dan saya akan membuat pengumuman apabila persediaan sepenuhnya telah dibuat.

“Agenda utama kita adalah mempermudah urusan rakyat dan saya tak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat-pejabat JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) yang menyusahkan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban memaklumkan perkara tersebut selepas mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi JPJ, petang semalam.

Jelasnya, mesyuarat diadakan bagi mendapat taklimat berkenaan perancangan JPJ pada tahun ini.

“Antara agenda utama JPJ tahun ini ialah melaksanakan digitalisasi dalam perkhidmatan teras kepada rakyat seperti pelesenan kenderaan dan pemandu selain memperkukuh penguatkuasaan undang-undang jalan raya,” katanya. – UTUSAN

The post Masalah pelekat cukai jalan selesai tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *